Wednesday, 9 November 2011

Selendang Hijau.....bab 1

Matahari mula terbenam. Cuaca pada waktu itu cukup redup dan langit mula kemerah-merahan. Keadaan di pantai Kampung Selasih riuh rendah dengan suara kanak-kanak bermain dan nelayan pulang ke pangkalan. Aku menolong abah menarik jala dan mengumpul ikan-ikan untuk dimasukkan ke dalam bekas besar dan menghantar ke pasar untuk dijual esok hari. Aku membersihkan bot sementara abah duduk di atas sebatang kayu mati sambil menghisap rokok. Aku memandang abah yang begitu asyik menghisap rokok.

"Fiz..mari pulang..hari dah petang..maghrib pun dah hampir nak masuk.." ajak abah lalu berjalan mendahului aku. Aku mengangkat jala lalu meletakkan di atas bahu. Suasana cukup meriah pada waktu petang begini kerana semua masyarakat baru pulang dari tempat kerja dan dapat berkumpul bersama ahli keluarga. Malam ini ada ceramah agama di surau, bertambah meriahlah dengan kedatangan orang ramai. Sesampai di perkarangan rumah, emak sudah sedia menanti kepulangan aku dan abah. Senyuman manis terukir di wajah tua yang putih berseri itu. Aku meletakkan jala di tepi dinding sebelum menyalami tangan tua itu. Abah sudah pun duduk bersila di atas anjung rumah manakala emak sudah menuang air teh panas ke dalam cawan. Aku berlalu masuk ke dalam rumah.

"fiz tak nak minum dulu ke..?" soal emak mematikan langkahku. Aku melemparkan senyuman manis kepada emak.
"tak apalah mak..fiz nak cepat ni.. nanti terlambat pula ke surau..fiz masuk dulu mak.." ujarku sebelum masuk ke dalam. Emakku lihat mengangguk memahami kehendakku.

**********************************************************************************

Usai solat isyak, aku mengemaskan surau sebelum pulang. Tok Iman yang sedang kusyuk membaca Al-Quran aku tatap. Sungguh merdu suara itu memuji kebesaran Allah. Sebaik sahaja selesai membersihkan surau, aku meminta diri untuk pulang dan bersalaman dengan Tok Iman. Tok Iman sempat berpesan kepadaku agar aku tabah menghadapi dugaan Allah. Allah menyayangi semua umat-Nya. Dia tidak akan menguji hamba-Nya andai Hamba-nya tidak tabah dan kuat dan Hafiz salah satu dari orang-orang yang terpilih.
Nasihat tok iman akanku pahat kukuh dalam ingatan dan jiwa ini. Esok hari aku berhasrat untuk melawat pusara arwah kedua ibubapaku. Jarang sekali aku melawat pusara arwah kedua ibubapaku.
Aku tidak terus pulang ke rumah sebaliknya menuju ke pantai untuk menenang gelora di jiwa ini. Aku melabuhkan punggung di atas pasir sambil mendongak memandang ke dada langit.

Ibarat langit yang kelam,
Kehidupan yang tidak pernah suram,
Diusik kenangan silam,
Mengetuk pintu sang semalam,
Kenangan yang tidak pernah hilang,
Membuka pintu kenyataan,
Menggapai sebuah impian.

Aku kembali terkenang masa zaman alam persekolahan dimana aku berjaya dinobatkan menjadi juara menengah atas dalam pertandingan deklamasi sajak. Aku teringat pada rakan-rakanku. Bagaimanakah kehidupan mereka sekarang? Aku pernah ke bandar mencari peluang pekerjaan tetapi siapalah yang ingin mengambil aku bekerja. Keputusan SPM kurang memuaskan. Aku bukanlah pelajar yang bijak waktu di alam persekolahan. Aku hampir berputus asa namun dengan sokongan abah dan emak yang tidak putus-putus berjaya menaikkan semangat aku untuk berjuang meneruskan arus kehidupan yang kian pesat membangun. Aku cukup terharu dengan limpahan kasih sayang yang tidak berbelah bagi walaupun aku hanyalah anak angkat.

Kedua orang tuaku maut dalam nahas jalan raya. Aku yang terselamat hanya mengalami cedera ringan. Tragedi itulah yang memisahakn jasadku dan jasad kedua ibubapaku yang telah bersemadi di dalam tanah.Pada masa itu, sepasang suami isteri yang telah lama berkahwin namun masih belum dikurniakan cahaya mata telah mengambilku menjadi anak angkat mereka. Sesungguhnya aku terhutang budi pada emak dan abah. Aku harus mengubah kehidupan keluarga ini.

Tenang sungguh malam ini. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Aku menghirup udara nyaman malam itu. Sudah terlalu lama aku di sini. Apa kata emak dan abah nanti. Aku mengibas-ngibas pasir yang melekat di punggung seluarku. Aku meninggalkan persisiran pantai yang telah menenangkan jiwa ku ini. Dari kejauhan, cahaya yang terkeluar dari celah-celah rumah papan itu terang menerangi halaman rumahku. Mentol kecil di anjung rumah memudahkan aku mencari anak kunci jikalau aku pulang lewat ke rumah. Suara orang tergelak-gelak dari arah dapur menarik perhatianku untuk turut serta. Aku melaungkan salam dan salamku dibalas dalam nada laungan juga. Aku menuju ke dapur dan ternampak emak dan abah sedang duduk bersantai di meja makan. Aku menyalami tangan tua yang berada di hadapanku.

"bualkan apa mak..? nampak macam seronok..boleh fiz turut serta..?" soalku manja kepada emakku. Aku yang duduk disebelah emak diusap lembut rambutku. Begitu luhur kasih sayang dua insan tua ini.

"emak kamu ni..teringat masa zaman dia muda dulu..katanya ramai yang nak berkenalan dengannya.."ujar abah tersenyum-senyum.

"Abah kamu salah satu dari ramai-ramai yang nak berkenalan dengan mak..siap menyanyi depan rumah nak pikat mak.." ujar emak tergelak-gelak.
Aku turut serta tergelak. Bagaimanakah kalau kedua arwah ibubapaku masih hidup? Adakah keluarga ini akan ketawa bahagia seperti ini atau kebahagiaan keluarga ini akan hambar dan sunyi sepi? Tamparan lembut menyentak aku dari khayalan.

"termenung pula anak teruna mak ni..dah pergi tidur..esok kena bangun awalkan?..nanti tak larat pula pergi menjala ikan.." suruh emak lembut. Aku akur atas suruhannya. Aku bersalaman sebelum melangkah masuk ke bilikku..






No comments:

Post a Comment