Thursday 30 August 2012

Selendang Hijau.......bab 10

Ajakan Tok Mat pagi itu aku tolak. Aku tak mahu menanggung duka lagi. Biarlah aku tidak hadir ke majlis perkahwinan itu. Aku juga pasti Kamalia juga berharap aku tidak hadir ke majlis pernikahannya. Pasti Kamalia tidak akan selesa dengan kehadiranku nanti.

Radio yang berkumandang memutarkan lagu langit ke tujuh nyanyian Sharifah Zarina. Sungguh indah alunan melodi lagu ini.

Dulu kau pernah berkata, andai kata kita bercinta
akanku bina mahligai yang terapung di langit ke tujuh,
sememangnya seakan khayalan berlalu,
aku tak percaya

Kata-katamu hanya mimpi
disiang hari, kemarau panjang 
bertemu tidak berteduh tidak


Petang itu, hujan lebat mula menunjukkan tanda-tanda berhenti namun gerimis hujan tetap turun. Aku ke pantai untuk melihat keindahan matahari terbit selepas hujan. Langit kemerah-merahan menghiasi langit petang itu. Aku duduk di atas sebatang kayu mati yang sering aku duduk selepas pulang dari laut. Tika itu, anak mataku terpandang seorang kanak-kanak kecil perempuan sedang leka mengutip kulit kerang. Terleka aku melihat telatah kanak-kanak perempuan itu. Tiba-tiba seorang wanita datang menghampiri kanak-kanak kecil itu. Wanita itu berbaju kurung hijau dan berselendang hijau. Aku kenal Selendang hijau itu. Kamalia cukup mengemari menyarung selendang hijau itu dirambut ikalnya. Wanita dan kanak-kanak kecil itu berlalu meninggalkan persisiran pantai. Pantas aku mengejar mereka. Aku menjerit memanggil wanita itu. Wanita itu berpaling ke belakang. Aku terkejut dan betul jangkaan ku. Wanita itu adalah Kamalia. Aku berdiri bertentangan dengan Kamalia.

" Lia buat apa kat sini ?" soalku lambat-lambat. Kamalia tersenyum.

"Saja jalan-jalan kat sini.....tenangkan fikiran...oh ye..kenalkan ini adik Lia...namanya Laila..." Kamalia memperkenalkan kanak-kanak kecil itu kepadaku. Wajah kanak kecil itu saling tak tumpah seperti Kamalia.

" Mana suami Lia..?" tanyaku lagi dalam nada buat-buat gembira.

" Lia belum bernikah lagi Fiz... Lia masih kepunyaan umi dan abah..." jawab Kamalia tenang. Aku hairan dengan apa yang baru diperkatakan oleh Kamalia tadi.

" Apa maksud Lia ?" soalku serius.

" Nampaknya Lia harus beritahu Fiz perkara yang sebenar ." ujar Kamalia sambil tersenyum manis.


Apakah betul atau aku masih bermimpi? Rupa-rupanya pihak lelaki terpaksa menghentikan perkahwinan ini kerana bakal suami Kamalia memutuskan tidak mahu perkahwinan ini diteruskan lagi kerana sudah ada pilihan hati sendiri. Selama ini dia telah mengikut kemahuan ibubapanya. Kini dia sudah tidak boleh bersabar lagi. Dia telah mengambil keputusan untuk membatalkan perkahwinan ini. Kamalia gadis yang baik dan jodohnya hanya dengan orang yang baik sahaja. Semenjak itu kedua orang tua Kamalia menyesal kerana memilih faktor kekayaan. Akhirnya anak gadis mereka yang merana. Mereka membenarkan Kamalia mencariku dan meneruskan kembali perhubungan yang telah putus.

" Semuanya berlaku terlalu pantas. Ramai orang kampung tak tahu pasal ni. Majlis tetap diteruskan tapi bukan majlis pernikahan tapi majlis doa selamat." ujar Kamalia tersenyum kepadaku. Aku membalas semula senyuman manis itu.

Syukur...aku berasa sungguh bahagia kerana dapat  memilik cinta Kamalia semula. Akanku segera menyunting Kamalia menjadi permaisuri hidupku. Berlalu sudah mendung yang berlabuh, cahaya kebahagiaan bakal menyinari kehidupanku. Betul kata-kata emak, semua yang berlaku ada hikmahnya. Jasa dan budi emak dan abah telah ku balas. Sebagai hadiah dari budi baik mereka, aku telah membawa mereka mengerjakan haji. Kini bertambahlah ahli keluarga baru dalam keluarga kami. Memori ini tidak akan luput dari ingatanku.

" PERTEMUAN SELENDANG HIJAU"

No comments:

Post a Comment